Salah satu doa yang dianjurkan dibaca menjelang berbuka dan dalam setiap munajat Ramadhan adalah permintaan redha dan syurga-Nya. Allahumma inna nas-aluka ridhaaka wal jannah wa na'uudzubika min syakhotika wan naar, "Ya Allah hamba mohon redha-Mu dan syurga-Mu dan hamba mohon perlindungan dari murka dan azab neraka-Mu."
Setiap orang yang beriman pada Allah dan hari akhir pasti merindukan syurga. Ia merindukan syurga bukan kerana sudah bosan hidup di dunia, tetapi kerana ia memahami dan meyakini bahawa kehidupan yang hakiki dan abadi hanyalah kehidupan syurga (Surah al-A'la, 87: 17).
Syurga dengan segala personifikasinya adalah tempat yang dirindukan oleh seluruh makhluk Allah. Tempat yang tidak terdengar di dalamnya perkataan yang tak berguna, sia-sia, dan dusta. Di dalamnya, ada mata air yang mengalir, sungai susu yang mengalir di bawah tanah (QS al-Hijr: 45-48), takhta-takhta yang ditinggikan, gelas-gelas berisi minuman yang selalu sedia, bantal-bantal sandaran yang tersusun rapi ( al-Kahfi: 30-31), permaidani-permaidani yang terhampar, kebun-kebun dan buah anggur, dan gadis-gadis sebaya bermata indah dan menyenangkan (Surah Shad: 49-54).
Seluruh kenikmatan syurga tersebut ternyata pada bulan diijabahnya semua doa ini adalah yang diminta secara khusus; kiranya kita adalah yang tercatat sebagai penghuni sah. Masalahnya, apakah syurga merindukan kita? Rasul memberikan jawapan bahawa ada empat golongan manusia yang dirindukan syurga.
Pertama, orang yang sentiasa membaca Al-Quran (taaliy al-Quran). Nampaknya wajar jika syurga merindukan ahli Al-Quran ini kerana sejak di dunia sahaja mereka sudah dipilih oleh Allah dengan dikepakkan sayap malaikat yang selalu menaunginya, dicurahkan kasih sayang-Nya, diliputi ketenangan hati, dan selalu diingat oleh-Nya (HR Bukhari). Bahkan, di mata Rasulullah, orang terbaik di dunia dan akhirat tidak lain adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya (HR Bukhari Muslim).
Kedua, orang yang sentiasa menjaga lisannya (haafizhul lisaan). Tidaklah struktur kata yang keluar dari lisannya kecuali berorientasikan kepada rahmat hikmah dan berkah. Pantang baginya berkata kotor, angkuh, dan menyakitkan. Bukankah di syurga tidak akan ada kata-kata yang sia-sia dan dusta? Keselamatan hidup, baik di dunia mahupun akhirat, di antaranya ditentukan kerana terjaganya lisan, salaamatul insaan fi hifzhil lisaan.
Ketiga, pemberi makan orang yang kelaparan (muth'imuth tho'aam). Sungguh, Allah Yang Maha Berterima Kasih (Syakuur) akan membalas sekecil apa pun kebaikan kita kepada orang lain. Bila kita memberi minum kepada saudara kita yang kehausan, Allah akan memberi kita minum pada Hari Kiamat nanti pada saat orang-orang sedang dilanda dahaga hebat.
Keempat, orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan (shooimur ramadhaan). Di bulan yang mulia dan penuh berkat ini, Allah menjanjikan kepada kita akan pembebasan dari panasnya api neraka, bila kita berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan solat, qiraat dan taqarrub, serta ibadah apa pun dengan hanya mengharap redha-Nya.
Bahkan, di syurga ada satu pintu gerbang indah lagi kukuh yang disebut dengan gerbang ar-Royyan, ternyata hanya disediakan untuk mereka yang berpuasa pada bulan Ramadhan atas dasar iman dan ikhlas kerana Allah.
0 komentar:
Posting Komentar